Selasa, Februari 02, 2010

Perutusan Tahun Baru 2010






TEKS UCAPAN
YAB TAN SRI MUHYIDDIN BIN MOHD YASSIN
TIMBALAN PERDANA MENTERI
MERANGKAP MENTERI PELAJARAN MALAYSIA
PERUTUSAN TAHUN BARU 2010
7 JANUARI 2010; PUKUL 8.40 PAGI;
PUTRAJAYA INTERNATIONAL CONVENTION CENTRE



Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualiikum Warahmatullahi Wabarakatuh, selamat sejahtera dan salam 1Malaysia.
Yang Berhormat Datuk Dr. Wee Ka Siong
Timbalan Menteri Pelajaran I;
Yang Berhormat Dr. Mohd Puad bin Zarkashi
Timbalan Menteri Pelajaran II;
Yang Berbahagia, Tan Sri Dr. Zulkurnain bin Awang,
Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran;
Yang Berbahagia, Tan Sri Dato’ Hj Alimuddin bin Hj Mohd Dom,
Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia;
Timbalan-Timbalan Ketua Setiausaha dan
Timbalan-Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran;
Pegawai-Pegawai Kanan Kementerian Pelajaran Malaysia;
Dato’-Dato’, Datin-Datin, Guru-guru, murid-murid serta tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian.

1. Pertamanya, marilah kita memanjatkan setinggi-tinggi puji dan syukur ke hadrat Allah s.w.t kerana dengan limpah kurnia serta izinNya, maka kita dapat bersama-sama hadir di Majlis Perutusan Tahun Baru bagi tahun 2010 ini. Bagi warga Kementerian Pelajaran, hari ini merupakan hari yang amat bermakna di mana seluruh warga Kementerian Pelajaran dari segenap pelusuk tanah air berhimpun untuk bersama-sama memperbaharui iltizam, memperteguhkan tekad dan menyuntik semangat baru yang lebih kental bagi melaksanakan tanggungjawab mulia mendidik anak bangsa dan melonjakkan mutu pendidikan negara.
Para hadirin yang dihormati,

2. Kementerian Pelajaran merupakan nadi kepada usaha untuk membangunkan modal insan yang akan memacu kemajuan negara pada masa hadapan. Matlamat untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang tahun 2020 amat bergantung kepada keupayaan warga Kementerian untuk menyediakan pendidikan berkualiti yang menekankan pembangunan insan secara holistik dan membangunkan daya inovasi dan kreativiti pelajar. Dengan ini, kita akan dapat menghasilkan modal insan yang berilmu, kreatif, inovatif dan berketerampilan serta berupaya untuk memacu ekonomi berteraskan pengetahuan dan mencipta kekayaan baru bagi negara kita. Usaha ini adalah sejajar dengan hasrat YAB Perdana Menteri untuk melaksanakan Model Ekonomi Baru dan menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi.

3. Dalam sebuah negara berbilang kaum, agama, bahasa dan budaya, pendidikan juga merupakan wadah utama untuk membina sebuah negara bangsa yang bersatu padu. Hasrat ini hanya akan dapat dicapai melalui pelaksanaan satu sistem pendidikan yang mementingkan nilai-nilai kebangsaan dan menghormati kepelbagaian. Melalui sistem pendidikan ini, anak-anak akan diasuh dengan nilai-nilai kebersamaan, hormat-menghormati, cintakan tanah air dan penerimaan antara satu sama lain. Saya percaya dengan adanya usaha, tekad dan niat yang murni daripada pelbagai pihak untuk menyemai dan menyuburkan benih perpaduan di kalangan generasi muda melalui satu sistem pendidikan kebangsaan, kita akan berjaya memperkukuhkan perpaduan negara selaras dengan hasrat dan gagasan 1Malaysia.

4. Hakikatnya, melahirkan modal insan yang berketerampilan dan memupuk perpaduan kebangsaan adalah dua matlamat murni sistem pendidikan negara. Lebih daripada itu, sistem pendidikan di negara kita dipandu oleh Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang bermatlamat untuk melahirkan insan yang sempurna dan seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Justeru, fungsi utama pendidikan di negara kita ialah untuk membina dan membangun potensi yang ada pada setiap anak kita tanpa mengira perbezaan kaum, agama, bahasa dan budaya. Adalah menjadi hak setiap anak-anak di negara ini untuk mendapatkan pendidikan yang mampu menggarap dan membina segala potensi yang ada pada diri mereka secara seimbang dan sempurna.

Para hadirin yang dihormati sekalian,
KEJAYAAN YANG DICAPAI DALAM TAHUN 2009
Akses Pendidikan Berkualiti – Infrastruktur dan Kebajikan

5. Menyedari kepentingan pendidikan sebagai wahana untuk melahirkan modal insan yang berketerampilan, mempekukuhkan perpaduan dan membangun potensi pelajar secara seimbang, kerajaan sentiasa memberikan keutamaan kepada agenda pendidikan. Meskipun Malaysia menerima kesan daripada kemelesetan ekonomi dunia, Kementerian Pelajaran sentiasa memastikan perancangan dan pembangunan pendidikan negara dapat dilaksanakan dengan jayanya. Alhamdulillah, pencapaian sepanjang tahun 2009, menunjukkan program-program yang dirancang telah memberi impak yang berkesan.

PENCAPAIAN AKADEMIK DI SEKOLAH

6. Dari segi pencapaian akademik, pencapaian calon UPSR pada tahun lalu adalah lebih baik berbanding tahun sebelumnya dengan bilangan pelajar yang memperolehi Gred A dalam semua mata pelajaran telah meningkat sebanyak 0.32 peratus. Sementara itu, keputusan PMR 2009 juga mencatatkan peningkatan sebanyak 6 peratus.

AKTIVITI SUKAN, SENI DAN KOKURIKULUM

7. Saya juga amat berbangga dengan kejayaan menonjol para pelajar dalam bidang ko-kurikulum apabila pasukan negara kita menjadi johan keseluruhan dalam pertandingan World Robotic Challenge 2009 di Pohang, Korea Selatan; mendapat tempat ke enam dalam F1 Technology Challenge World Championship 2009 di London; dan pasukan daripada Sekolah Victoria menjuarai Kejohanan Pancaragam Sedunia 2009. Manakala dalam bidang sukan, kita amat berbangga dengan kegigihan yang ditunjukkan oleh para atlet muda dari Sekolah Sukan Malaysia yang mampu bersaing dengan atlet senior di Temasya Sukan SEA Ke-25 di Laos dengan meraih sebanyak 28 pingat emas. Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada semua!
8. Usaha yang lebih bersepadu untuk menambah baik kemudahan dan prasarana sukan, meningkatkan keupayaan jurulatih dan menyemarakkan program sukan dan kokurikulum di sekolah akan terus dilaksanakan pada masa hadapan. Untuk tujuan ini, seramai 480 orang jurulatih kokurikulum telah dilatih pada tahun 2009 bagi membolehkan 516 jawatan jurulatih kokurikulum diisi pada tahun 2010 ini.

Hadirin yang saya hormati sekalian,
MEMANTAPKAN LATIHAN PERGURUAN

9. Kunci kepada kecemerlangan pendidikan ialah guru-guru yang berkualiti. Dalam usaha untuk meningkatkan kualiti guru dan memartabat profesionalisme keguruan, KPM telah melaksanakan beberapa strategi. Ini termasuklah menaik taraf maktab perguruan kepada institut pendidikan guru (IPG) yang menawarkan program ijazah. Kumpulan pertama guru terlatih IPG iaitu seramai 1,448 orang yang berjaya memperolehi ijazah sarjana muda pendidikan di bawah Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) pada Disember 2009 akan memulakan tugas mereka pada awal tahun ini. Pusat-pusat Kecemerlangan Institut Pendidikan Guru juga telah diwujudkan berdasarkan bidang-bidang kebitaraan.
10. Kementerian juga akan meneruskan usaha untuk meningkatkan jaringan kerjasama dengan universiti-universiti berprestij dalam dan luar negara sebagai salah satu usaha menaik taraf IPG, meningkatkan pembangunan kapasiti (capacity building) para pensyarah dan melahirkan guru siswazah yang berkemahiran. Antara yang telah dilaksanakan ialah Program Perguruan IPTA (Ijazah Sarjana Muda Perguruan) dalam negara, serta Program Kembar Bachelor of Education (TESL). IPG Kampus Antarabangsa yang telah bekerjasama dengan lima universiti di Australia, New Zealand dan United Kingdom sejak tahun 2003 telah melahirkan tiga kohort guru bahasa Inggeris berjumlah 367 orang yang majoritinya berkhidmat di sekolah luar bandar dan pedalaman. Program melatih guru dalam bahasa Antarabangsa seperti Bahasa Jerman, Bahasa Jepun dan Bahasa Perancis diteruskan bagi memastikan murid sekolah berpeluang belajar bahasa lain selain bahasa Inggeris. Selain itu, Program Pensarjanaan Tenaga Pengajar IPG diteruskan bagi menjamin kredibiliti tenaga pengajar dan kualiti pendidikan di IPG. Sehingga penghujung tahun 2009, sejumlah 60 peratus pensyarah IPG telah ditawarkan tajaan biasiswa kedoktoran manakala 57 peratus pensyarah ditawarkan tajaan biasiswa sarjana.

Hadirin yang saya hormati sekalian,
INFRASTRUKTUR DAN KEMUDAHAN PENDIDIKAN

11. Pemeluasan akses kepada pendidikan yang berkualiti tidak akan lengkap tanpa memastikan pelajar menikmati kemudahan pendidikan yang selesa. Oleh itu, sebanyak 10,281 projek infrastruktur dan kemudahan pendidikan telah dan sedang dilaksanakan oleh Kementerian. Bagi memastikan anak-anak kita di luar bandar dan kawasan pedalaman menerima pendidikan yang sewajarnya, sebanyak 93 buah asrama baru, asrama tambahan dan gantian telah siap, atau sedang dalam proses pembinaan. Kementerian juga telah melaksanakan sebanyak 168 buah projek rumah guru yang diharap dapat memastikan guru dapat berkhidmat di kawasan pedalaman dalam keadaan yang lebih selesa.
12. Selain itu, KPM juga telah melaksanakan projek bekalan air bersih di seluruh negara dengan peruntukan sebanyak RM387.9 juta. Bekalan elektrik telah berjaya disediakan di sekolah-sekolah di seluruh negara dengan peruntukan sebanyak RM1.78 billion. Sehingga kini bekalan elektrik 24 jam telah dapat disediakan kepada hampir semua sekolah iaitu 99.1 peratus sekolah rendah, dan 99.5 peratus sekolah menengah. Dalam usaha merapatkan jurang digital, Kementerian telah mewujudkan 2143 atau (70.8%) pusat akses ICT di luar bandar. Dengan terlaksananya pembinaan pusat akses, maka ramai murid telah dapat melaksanakan pembelajaran kendiri, berkomunikasi secara elektronik, mencapai maklumat dan memperoleh kemahiran ICT.

Hadirin yang dihormati sekalian,
KEBAJIKAN GURU

13. Sesungguhnya Kementerian amat menghargai dan berterima kasih kepada para pendidik yang tanpa jemu berusaha meningkatkan kualiti pendidikan negara dan mendidik anak bangsa, terutamanya bagi mereka yang berkhidmat di kawasan luar bandar dan pedalaman. Bagi memastikan guru terlatih mencukupi mengikut opsyen di pedalaman, Kementerian telah memperluaskan pemberian Elaun Khas Mengikut Lokasi Dan Tahap Kesusahan bagi pegawai perkhidmatan pendidikan dan anggota kumpulan sokongan yang berkhidmat di sekolah pedalaman. Elaun ini telah memberi manfaat kepada seramai 12,000 warga pendidik di 872 buah sekolah.

14. Untuk memartabatkan profesyen keguruan, Kementerian juga telah meluluskan 3,302 pemangkuan dan kenaikan pangkat kepada Pegawai Perkhidmatan Pelajaran Siswazah (PPPS) laluan cemerlang, 233 bagi laluan Guru Besar bekas Pegawai Perkhidmatan Pelajaran Lepasan Diploma (PPLD); 9, 627 bagi PPPS laluan Time-Based; 17, 916 bagi PPPS laluan hakiki; 2,137 bagi PPLD laluan cemerlang; 8,218 bagi PPLD laluan Time-Based; dan 5,368 bagi PPLD laluan hakiki. Bagi Anggota Kumpulan Sokongan pula, jumlah pemangkuan dan kenaikan pangkat yang diluluskan ialah 4,001 bagi laluan Time-Based dan 10,915 bagi laluan Hakiki.

PENGLIBATAN DAN PENCAPAIAN PERINGKAT ANTARABANGSA

15. Selaras dengan aspirasi kerajaan untuk menjadikan Malaysia pusat kecemerlangan pendidikan bertaraf dunia, Kementerian menjalin program-progran kerjasama dengan negara-negara maju dan membangun. Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP) yang dikendalikan di IPG, Kampus Bahasa Antarabangsa sejak tahun 2001 melibatkan 93 buah negara, adalah salah satu bukti bahawa pendidikan di Malaysia telah mencapai tahap antarabangsa dan mempamerkan keupayaan Malaysia menjadi global players dalam arena pendidikan dunia. Satu lagi projek yang amat membanggakan Malaysia pada tahun 2009 adalah Malaysia Australia Education Project for Afghanistan (MAEPA), iaitu projek kerjasama Malaysia dan Australia bagi melatih 30 orang jurulatih utama dari Afghanistan dalam pendidikan guru menurut perspektif pendidikan Islam di IPG yang sama. Malaysia juga akan meningkatkan jalinan kerjasama peringkat dua-hala (Bilateral) dan pelbagai-hala (Multilateral) melalui pelbagai saluran kerjasama di peringkat antarabangsa seperti ASEAN, UNESCO, ISESCO, Komanwel, dan SEAMEO

Hadirin yang dihormati sekalian,
HARAPAN BAGI TAHUN 2010

16. Apakah harapan dan wawasan kita bagi tahun 2010? Walaupun kita telah berjaya melaksanakan pelbagai program untuk meningkatkan kualiti pendidikan pada tahun 2009, kita juga akan berhadapan dengan pelbagai cabaran dan rintangan yang perlu ditangani bagi tahun 2010. Antara cabaran yang menuntut komitmen dan iltizam semua warga pendidik adalah meluaskan akses pendidikan yang berkualiti dan berkemampuan sebagaimana yang disasarkan dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi pendidikan.

17. Justeru, bagi tahun 2010 saya ingin memberikan tumpuan khusus kepada usaha untuk mencapai sasaran awal empat sub-NKRA pendidikan. Pertama, untuk meningkatkan kadar penyertaan murid prasekolah, sasaran Kementerian bukan sahaja tertumpu kepada kanak-kanak yang berumur 5 tahun ke atas, malah juga meliputi kanak-kanak yang berumur 4 tahun. Penyertaan kanak-kanak seawal umur 4 tahun dalam sistem prasekolah diharapkan dapat membina keyakinan anak-anak dan membentuk pemikiran kritis, kreatif dan inovatif dari awal lagi. Pada masa ini, 67 peratus kanak-kanak telah mengikuti prasekolah kerajaan dan swasta. Sasaran bagi tahun 2010, iaitu peningkatan 5 peratus kepada 72 peratus bukanlah sesuatu yang sukar dicapai, kerana tanggungjawab ini akan dipikul bersama oleh agensi kerajaan, swasta dan Badan Bukan Kerajaan (NGO). Selaras dengan ini, Kementerian telah menambah bilangan kelas prasekolah kepada 315 buah kelas dengan bilangan guru prasekolah seramai 7,511 orang pada tahun 2010 ini. Semua prasekolah, kerajaan mahupun swasta, akan menggunakan Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK). Perluasan pendidikan prasekolah ke dalam aliran perdana pendidikan akan membolehkan negara kita menepati standard antarabangsa dalam menyediakan pendidikan bagi tempoh 12 tahun bagi setiap murid.

18. Kedua, penguasaan kemahiran membaca, menulis dan mengira murid akan ditingkatkan dengan pengenalan program Literasi dan Numerasi (LINUS) pada peringkat sekolah rendah. Pada masa kini, kadar literasi dalam kalangan murid sekolah rendah adalah 87 peratus. Sasaran bagi tahun 2010 ialah peningkatan sebanyak 3 peratus iaitu kepada 90 peratus. Sasaran ini akan disokong dengan menempatkan guru-guru yang terbaik untuk mengajar Tahun 1, menambah bilangan guru pemulihan di sekolah pada nisbah 1 guru kepada 15 orang murid daripada nisbah sedia ada iaitu 1 guru kepada 1 sekolah. Ini akan membolehkan lebih tumpuan diberikan kepada murid yang lemah penguasaannya dalam kemahiran 3M. Kumpulan guru yang bertindak sebagai fasilitator untuk membantu guru-guru dalam program ini juga akan diwujudkan di semua Pejabat Pelajaran Daerah.

19. Ketiga, sasaran untuk melahirkan Sekolah Berprestasi Tinggi akan dicapai dengan mewujudkan sekolah berkesan atau effective schools yang mempunyai identiti tersendiri yang unik, berbudaya kerja sangat tinggi dengan modal insan yang berkembang secara holistik, berdaya saing serta diiktiraf dalam dan luar negara. Sebanyak 20 buah sekolah disasarkan untuk menjadi Sekolah Berprestasi Tinggi pada tahun ini agar matlamat kita menjadikan 100 buah sekolah dalam kumpulan ini pada tahun 2012 tercapai. Saya amat berharap agar hasrat untuk mewujudkan sekolah-sekolah sebegini menjadi realiti dan seterusnya menjadi sekolah contoh kepada sekolah-sekolah lain dalam mencipta kecemerlangan institusi masing-masing.

20. Keempat, Kementerian telah merangka suatu insentif berbentuk kewangan dan bukan kewangan kepada kepimpinan sekolah yang telah berusaha memajukan serta menyumbang kepada profesionalisme pengurusan dan kesejahteraan institusi masing-masing. Bermula tahun 2010, semua pemimpin sekolah perlu menetapkan sasaran yang perlu dicapai dengan persetujuan bersama Kementerian. Pencapaian prestasi sekolah adalah berdasarkan skor komposit iaitu kombinasi skor Gred Purata Sekolah (GPS) dan skor Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM). Pengetua dan Guru Besar yang mencapai kedudukan tertinggi akan layak menerima ganjaran. Kementerian berharap agar ganjaran ini menjadi pendorong kepada semua pemimpin sekolah untuk terus berusaha dengan gigih bagi mencapai sasaran yang ditetapkan dan seterusnya meningkatkan kualiti sekolah sehingga menjadi sekolah berprestasi tinggi.

21. Dalam usaha kita untuk menjadi negara maju, kita juga perlu melahirkan modal insan yang berkemahiran tinggi. Alhamdulillah, dalam kalangan pelajar kita terdapat mereka yang lebih cenderung untuk mengasah bakat dalam bidang kemahiran. Menyedari hakikat ini, Kementerian telah menstruktur semula 69 buah Sekolah Menengah Teknik untuk dijadikan Sekolah Menengah Vokasional yang diharapkan dapat menggarap kemahiran pelajar-pelajar kita dan meningkatkan daya inovasi dan kreativiti mereka. Kita juga telah merancang program yang terbaik agar sekolah aliran vokasional dan kemahiran menjadi salah satu bidang aliran perdana dalam sistem pendidikan kita. Saya percaya dengan peningkatan mutu pendidikan kemahiran dan vokasional, kita akan dapat membekalkan tenaga kerja yang kreatif, inovatif dan berkemahiran tinggi yang amat diperlukan oleh Negara.

22. Penandaarasan pendidikan negara adalah amat penting untuk menjamin pendidikan di negara kira adalah setanding dengan amalan terbaik di peringkat antarabangsa. Dengan mengambil kira kesesuaian konteks pendidikan Malaysia, Kementerian akan menjalankan kajian penilaian ke atas sistem pendidikan negara pada tahun hadapan dengan kerjasama UNESCO bagi membolehkan kita mengenal pasti kekuatan dan kelemahan untuk menambahbaik sistem pengurusan pendidikan, kurikulum, latihan perguruan, proses pengajaran dan pembelajaran dan aspek-aspek lain secara keseluruhannya.

Hadirin yang saya hormati sekalian,
MBMMBI

23. Bahasa merupakan jiwa sesuatu bangsa. Menyedari hakikat kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara serta sebagai bahasa ilmu dan bahasa perpaduan, Kementerian akan berusaha lebih gigih untuk memartabatkan bahasa Malaysia dengan mengukuhkan penggunaannya sebagai bahasa pengantar dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Program literasi kepada murid sekolah rendah akan menumpu kepada kemahiran membaca dan menulis dalam bahasa Malaysia dalam semua aliran pendidikan. Ini bagi memastikan semua murid dapat berkomunikasi dan memahami satu sama lain dalam satu bahasa yang akan mewujudkan semangat perpaduan dan muhibah dalam kalangan rakyat pelbagai kaum. Selain itu, Kementerian juga akan melaksanakan transformasi bahasa Malaysia dengan mempelbagaikan kaedah pengajaran dan pembelajaran melalui pendekatan modular yang bersepadu, seimbang, dan holistik.

24. Untuk berjaya pada peringkat antarabangsa, kita perlu menguasai bukan sahaja satu bahasa malah pelbagai bahasa antarabangsa. Untuk tujuan itu, Kementerian telah mengambil langkah untuk memperkukuhkan penguasaan dalam bahasa Inggeris yang merupakan bahasa kedua negara, lantas dapat meningkatkan keupayaan murid menguasai ilmu terutama dalam bidang sains dan teknologi, serta mempersiapkan mereka menghadapi persaingan arus globalisasi, selain menggalakkan murid menguasai bahasa-bahasa antarabangsa lain di dunia. Antara usaha yang dijalankan untuk mengukuhkan penguasaan bahasa Inggeris ialah dengan menambah bilangan guru bahasa Inggeris berkualiti melalui latihan perguruan menggunakan jurulatih utama dari luar negara atau penutur jati bahasa tersebut. Selain itu, penambahan masa dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris sebanyak 90 minit untuk Sekolah Kebangsaan dan 60 minit untuk Sekolah Jenis Kebangsaan membuktikan kesungguhan Kementerian untuk memperkukuhkan bahasa Inggeris dalam kalangan murid. Sebanyak empat IPG dan English Language Training Centre (ELTC) telah dikenalpasti sebagai ‘Pusat Kecemerlangan Bahasa Inggeris’. Semua IPG ini akan melaksanakan pelan tindakan untuk memperkukuhkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan guru pelatih dan dalam perkhidmatan sepanjang tahun 2010 dan tahun-tahun berikutnya.

Hadirin yang dihormati sekalian,

25. Kementerian telah merancang pelbagai usaha untuk meningkatkan kecemerlangan pendidikan dan menambahbaik sistem pendidikan negara. Namun, usaha dan perancangan tersebut akan menghadapi cabaran yang bukan sedikit pada tahun 2010 ini. Sebagai permulaan, krisis ekonomi dunia yang berlaku telah memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi negara kita. Situasi ini telah menjejaskan pendapatan negara. Ini menyebabkan peruntukan perbelanjaan Kementerian Pelajaran pada tahun ini dikurangkan kepada RM30.51 billion berbanding RM31.4 billion pada tahun lalu. Cabaran kepada Kementerian ialah untuk meneruskan segala aktviti sedia ada secara lebih cekap dengan meletakkan keutamaan (priority) pelaksanaan program yang dirancang tanpa menjejaskan kualiti pendidikan.

26. Kunci kepada kejayaan kita mengharungi cabaran ini ialah pengurusan kewangan yang berhemah berteraskan amalan nilai-nilai moral, etika dan integriti yang luhur. Dalam memelihara integriti, saya menyeru seluruh warga Kementerian agar menghayati nilai-nilai murni seperti cekap, jujur dan amanah, serta membuat sesuatu keputusan berasaskan kepada kriteria-kriteria yang telus, adil dan saksama serta mengelakkan pembaziran. Saya yakin dengan memelihara integriti, kita akan berupaya mengurus kewangan dengan berhemah dan menyampaikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat selaras dengan prinsip rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan.

27. Cabaran yang perlu digalas oleh semua pengurus pendidikan khususnya pada peringkat institusi pendidikan ialah untuk berfikir dan bertindak bagi mengekal dan meningkatkan pencapaian berdasarkan tahap keberhasilan yang ditetapkan dengan menggunakan sumber yang terhad. Kejayaan pengurusan sekolah mendepani cabaran ini sesungguhnya menjadi ukuran kepada kecekapan dan keberkesanaan mereka dalam mentadbir dan mengurus sekolah. Inilah masa yang sesuai untuk kita memperaktikkan cadangan YAB Perdana Menteri bagi tahun 2010, iaitu ‘menggalakkan kreativiti dan inovasi’ dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab. Saya percaya, kita pasti dapat mengharungi segala cabaran yang bakal mendatang dengan adanya semangat dedikasi, sifat tanggungjawab dan profesionalisme warga pendidik.

28. Kepada para pelajar, harapan saya tentu sekali anda semua mencapai kejayaan cemerlang dalam pelajaran. Ingatlah bahawa setiap usaha yang dilakukan oleh para guru dan seluruh warga Kementerian ini ialah untuk mendidik anda semua agar menjadi pelajar yang cemerlang. Justeru, berusahalah dengan gigih, hormatilah para guru dan ibubapa, peliharalah disiplin dan sahsiah diri, dan capailah impian anda. Di samping itu, jadikanlah sekolah kita sebagai medan untuk memperkukuhkan perpaduan. Hayatilah semangat 1Malaysia dengan sepenuh hati dan amalkanlah sikap saling hormat-menghormati. Saya percaya dengan sikap yang baik ini kita akan berjaya memupuk semangat perpaduan yang lebih kental.

PENUTUP

29. Akhirnya, saya merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih tidak terhingga kepada semua warga Kementerian Pelajaran, termasuk semua pendidik yang berada di seluruh pelusuk negara yang telah berusaha dengan gigih untuk menjayakan pelbagai program pada tahun 2009. Bagi tahun baru 2010 ini, saya berharap usaha untuk melonjakkan kecemerlangan pendidikan akan dilipatgandakan lagi agar kita dapat menyediakan pendidikan terbaik kepada anak-anak kita pada hari ini dan masa depan. Selamat Menyambut Tahun Baru 2010. Semoga usaha kita akan diberkati Allah SWT dan segala perancangan kita dapat dilaksanakn dengan jayanya.
Wabillahi al-taufiq wal hidayah wassalamu’alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh.

Sejarah Sekolah




SK Serian merupakan sebuah sekolah yang tertua dan dibina berdekatan dengan jalan raya. Dahulu sekolah ini terletak berhampiran dengan masjid di Kampung Hilir berkeadaan daif dan agak terpencil. Ia dikenali sebagai Council School. Bilangan pelajarnya agak kecil dan terdiri daripada anak-anak penduduk kampung-kampung yang terdekat seperti Kampung Hilir,Kampung Hulu, dan Munggu Limo saja. Disebabkan bangunan yang terlalu usang dan bilangan pelajar semakin ramai, pihak kerajaan telah membina sebuah bangunan baru, yang lebih kukuh dan boleh menampung bilangan pelajar yang ramai. Kini SK Serian, dipindahkan ke Kampung Munggu Limo. Sekolah ini dipindahkan pada penghujung November 1982 dimana ia mula-mula digunakan oleh perserta-perserta kursus KBSR yang pertama untuk menjalani latihan selama seminggu. Sesi persekolahan pertama dimulakan pada awal tahun 1983. Kini ia mempunyai lebih kurang 500 orang pelajar, 36 orang guru dan 3 orang staf sokongan. Pertambahan bilangan pelajar-pelajar tersebut datangnya dari Kampung Seroban, Ranchan, Munggu Limo, Hilir, Hulu, Taman Anggerik, Kakai, Pasir dan sekitar bandar Serian.